Senin, 24 Februari 2014

Najib akui bermasalah raih sokongan golongan Cina


  • Bernama
  • Malaysiakini Nov 25 2012
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masyarakat Cina yang menyukai kepimpinannya harus memberi sokongan menyeluruh kepada Umno dan BN jika mereka mahu beliau membawa lebih banyak kejayaan kepada negara menerusi program transformasi negara.
Perdana Menteri berkata demikian dalam wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno ke-66 minggu depan ketika diminta mengulas pemerhati politik mengatakan segolongan masyarakat Cina menyukai kepimpinan Najib tetapi bukan partinya serta BN dan berbelah bahagi untuk memberi sokongan.

Najib yang juga Presiden Umno dalam wawancara satu jam dengan Bernama dan Utusan Malaysia bagaimanapun, berkata beliau nampak ada angin perubahan bertiup dalam tahap sokongan terhadap kerajaan termasuk dalam kalangan kaum Cina berbanding 2008 kerana mereka suka dengan hala tuju kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai golongan masyarakat Cina yang masih berbelah bahagi menyokong kerajaan, beliau berkata "Kalau dia nak saya sebagai PM yang boleh membawa transformasi kepada negara sebagaimana yang mereka dah yakin selama ini, mereka perlu beri sokongan kepada saya."

"Sebab PM yang kuat adalah PM yang mendapat sokongan secara menyeluruh, agar boleh membawa lebih banyak kejayaan kepada negara," tambahnya.

Najib berkata seorang perdana menteri tanpa mandat menyeluruh adalah lemah dan boleh dipertikaikan, termasuk apa jua pembaharuan yang hendak dibawa sebab sebarang perubahan menghadapi banyak cabaran.

"Kepimpinan tanpa sokongan politik adalah kepimpinan yang tak ada kekuatan moral. Kalau tiada kekuatan moral, dia (pemimpin) sukar nak menghadapi cabaran-cabaran untuk bawa perubahan yang besar kepada negara," kata Najib.

Sejak menjadi perdana menteri pada April 2009, Najib memperkenalkan pelbagai program transformasi menyeluruh meliputi sistem penyampaian kerajaan, politik dan ekonomi yang mula menampakkan tinjauan-tinjauan awal yang amat positif.

Perdana Menteri berkata walaupun Umno atau BN mempunyai beberapa kelemahan tetapi ia adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pakatan pembangkang.

"Jadi kalau mereka tak suka Umno atau BN, sekurang-kurangnya kita ini padu, sehaluan, cakap senada berbanding pembangkang yang dari segi asasnya ideologi pun dah bercanggah. Siapa jadi PM pun (dalam kalangan pembangkang) tidak seiya sekata," tegas beliau.
selengkapnya
- Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar